Muttaabi' dan as-syahid, serta jalan mencapai keduanya (al 'itibar)




Contoh

Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasalam bersabda :

الشهر تسع وعشرون فلا تصوموا حتى تروه الهلال ولا تفطروا حتى تروه فإن غم عليكم فاقدروا له

”Bulan itu bilangannya 29 hari, jangan berpuasa sebelum kamu melihat hilal, dan jangan kamu berbuka sebelum kamu melihatnya. Maka jika tertutup awan atas kamu, perkirakanlah baginya”.

Hadits ini diriwayatkan oleh Malik, Bukhari, Muslim, An-Nasa’I, dan Ibnu Khuzaimah.

Diriwayatkan oleh shahabat Malik dari Malik, dari Abdullah bin Dinar, dari Abdullah bin ‘Umar bahawa Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda : ”……maka jika tertutup awan atas kamu, maka perkirakanlah baginya”.

Diriwayatkan oleh Asy-Syafi’I, dari Malik, dari Abdullah bin Dinar, dari Abdullah bin ‘Umar dengan lafadz yang sama bahawa Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda : ”…….maka jika tertutup awan atas kamu, sempurnakanlah bilangannya 30 hari”.

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Salamah Al-Qa’nabi, dari Malik, dari Abdullah bin Dinar, dari Abdullah bin Umar dengan lafadz yang sama bahawasanya Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda : ”……..maka jika tertutup awan atas kamu, sempurnakanlah bilangannya 30 hari”.

Dan diriwayatkan oleh ‘Ashim bin Muhammad, dari bapanya Muhammad bin Zaid, dari datuknya Abdullah bin ‘Umar dengan lafadz yang sama bahawasanya Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda : ”………maka jika tertutup awan atas kamu, maka sempurnakanlah bilangannya 30 hari”.

Dan diriwayatkan oleh Muhammad bin Hunain, dari Ibnu ‘Abbas dengan lafadz : Bahawasanya Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda : ”…….maka jika tertutup awan atasmu, maka sempurnakanlah bilangannya 30 hari”.

Dan diriwayatkan Muhammad bin Ziyad dari Abu Hurairah dengan lafadz yang sama bahawasannya Rasulullah shallallaahu ‘alaihi wasalllam bersabda : ”……maka jika terhalang awan atas kamu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban 30 hari”.

 

Di sini ada beberapa permasalahan :

1. Sebahagian kaum mengira bahawa Imam Syafi’I hanya sendiri dalam meriwayatkan hadits Ibnu ‘Umar dengan lafadz : ”maka sempurnakanlah bilangan 30 hari”.

2. Para ulama telah membahas dan meneliti matan dan sanad-sanad, dan mereka mendapatkan :

a. Bahawasannya Al-Qa’nabi telah menyertai Imam Asy-Syafi’I mulai dari awal sanad sampai ke Ibnu ‘Umar dengan lafadz : ”….maka sempurnakanlah bilangan 30 hari”.

b. Bahawasannya Muhammad bin Zaid telah menyertai Asy-Imam Syafi’I dalam meriwayatkan hadits Ibnu ‘Umar dengan lafadz : ”…….maka sempurnakanlah bilangan tiga puluh”.

3. Dan para ulama telah membahas dan menguji matan dan sanad-sanad, dan mereka mendapatkan :

a. Bahawasanya Muhammad bin Hunain telah menyertai guru dari guru Imam Asy-Syafi’I, akan tetapi hanya sampai pada Ibnu ‘Abbas dengan lafadz : ”………maka sempurnakanlah bilangan 30 hari”.

b. Bahawasanya Muhammad bin Ziyad telah menyertai guru dari guru Imam Asy-Syafi’I, namun hanya sampai kepada Abu Hurairah dengan lafadz : ”….maka jika tertutup awan atasmu, maka sempurnakanlah bilangan bulan Sya’ban 30 hari”.

Dengan demikian menjadi jelas bahawa apa yang diriwayatkan Imam Asy-Syafi’I bukanlah gharib kerana terdapat persamaan dan penyertaan dalam lafadz atau makna dari riwayat Ibnu ‘Umar itu sendiri atau dari shahabat yang lain.

Maka riwayat yang menyertai hadits, baik dalam hal lafadz ataupun makna, dan shahabat yang meriwayatkannya adalah satu, maka riwayat itu dinamakan muttabi’.

Sedangkan hadits yang menyertai hadits, baik lafadz mahupun maknanya, dan shahabat yang meriwayatkannya adalah berbeza, maka dinamakan syahid.

Dan kesamaan shahabat dalam periwayatan hadits, menurut Imam Asy-Syafi’I :

a. Jika terjadi pada awal sanad, maka dinamakan mutaba’ah yang sempurna.

b. Jika tidak dimulai pada awal sanad, maka dinamakan mutaba’ah yang kurang sempurna.

 

Atas dasar ini, maka :

Al-Muttabi’, disebut juga At-Taabi’ menurut bahasa adalah isim fa’il dari taba’a yang ertinya yang mengiringi atau yang mengikuti. Sedangkan menurut istilah adalah satu hadits yang sanadnya menguatkan sanad lain dari hadits itu juga, dan shahabat yang meriwayatkannya adalah satu.

Asy-Syahid, menurut bahasa adalah isim fa’il yang ertinya adalah yang menyaksikan. Sedangkan menurut istilah adalah satu hadits yang matannya sama dengan hadits lain dan biasanya shahabat yang meriwayatkan hadits tersebut berlainan.

Al-Mutaba’ah, menurut bahasa adalah pengiringan. Sedangkan menurut istilah adalah penyertaan seorang perawi kepada perawi yang lain dalam periwayatan hadits. Dan Al-Mutaba’ah ada dua macam :

1. Al-Mutaba’ah Taammah (yang sempurna) : apabila seorang perawi menyertai mulai dari awal sanad.

2. Mutaba’ah qashirah (yang kurang sempurna) : apabila seorang perawi menyertai di tengah sanad.

Al-I’tibar, menurut bahasa iaitu memerhatikan perkara-perkara tertentu untuk mengetahui jenis lain yang ada di dalamnya. Sedangkan menurut istilah adalah penelitian jalan-jalan hadits yang diriwayatkan oleh satu orang perawi untuk mengetahui apakah ada orang lain dalam meriwayatkan hadits itu atau tidak, iaitu kondisi menuju kepada muttabi’ dan syahid.